Dec 29, 2011

Kelebihan Berwudhu...


Wudhu adalah perkara asas bagi setiap muslim sebelum mengerjakan ibadah sembahyang. Tanpa wudhu ibadah sembahyang adalah dianggap sia-sia dan tidak sah. Oleh itu umat Islam adalah diwajibkan untuk berwudhu bagi menjamin kesempurnaan ibadat sembahyang yang dilakukan. Di dalam hal ini, Allah Subhanahu wata’ala telah berfirman dalam surah Al-Mâidah yang bermaksud:

"wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengrjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudulah) iaitu basuhlah muka kamu meliputi sikut, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali."[Al-Maidah ; 6]…


Sayidina Othman bin ‘Affan juga pernah menceritakan bahawa beliau berwudhu dan berkata: "Saya melihat Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berwudhu seperti wudhuku ini kemudian Baginda bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa yang berwudhu sedemikian maka diampunkanlah untuknya dosa-dosa yang telah lalu dan sembahyang serta jalannya ke masjid adalah sunnah jukumnya." [HR. Muslim]...

Wudhu yang disyariatkan ini hendaklah dilakukan dengan sempurna dan mengikut tertibnya agar amalan ini dapat memberi manfaat kepada kita bukan sahaja di dunia, malah di akhirat juga sebagaimana maksud hadis ini:

"Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada Hari Kiamat dalam keadaan bercahaya wajahnya dan amat putih bersih tubuhnya oleh sebab bekas-bekas wudhu. Oleh itu, barang siapa di antara kamu hendak memperpanjangkannya (menambah cahaya), maka baiklah dia melakukannya dengan sempurna" [HR. Bukhari]...


Tabiat air ialah memadamkan api. Begitu juga wudhu dapat memadamkan api kemarahan. Oleh itu Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wasallam berpesan kepada umatnya supaya berwudhu ketika dalam keadaan marah sebagaimana hadis Baginda yang bermaksud:

"Sesungguhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan itu dijadikan daripada api dan sesungguhnya api itu terpadam dengan air. Maka jika sesiapa di antara kamu yang dalam keadaan marah, maka bersegeralah mengambil wudhu" [HR. Imam Ahmad]...